Pengaplikasian Demokrasi Islam Realiti Demokrasi Islam

Kebangkitan secara dinamik gerakan politik Islam dalam sistem demokrasi seluruh dunia memperlihatkan kematangan gerakan-gerakan ini memperjuangkan parti politik berteraskan Islam. 1980an merupakan era kemajuan gerakan moden ini sehingga mendapat perhatian media-media dunia. Pemimpin parti Islam seperti parti Refah di Turki, Parti Ennahda di Tunisia, Al-Adl Wa Al-Ihsan di Morocco, Hamas di Palestin, PAS di Malaysia berulang kali menyatakan kepercayaan mereka terhadap tatacara penyelarasan sistem demokrasi dan pelan gerakan demokratik meliputi kebebasan individu dan kumpulan, penyertaan parti yang bebas dan tukar ganti pihak berkuasa melalui pilihanraya yang jujur. Penglibatan mereka merupakan satu pilihan jangka panjang dalam rangka menjadikan demokrasi sebagai satu wadah memartabtkan perjuangan yang dibawa.

Prinsip-prinsip ketersamaan demokrasi dan Islam:

Musyawwarah, prinsip ini menekankan proses perbincangan secara kolektif dan kesepakatan bersama. Prinsip ini jugak menidakkan pemusatan kuasa dan autokratik dalam pengambilan keputusan dan pembinaan dasar.

al-Adalah, prinsip keadilan yang dijamin terhadap pengurusan tata kelola pentadbiran, ketelusan dalam pemilihan, pelaksanaan dasar yang tidak bersifat personal dan mendatangkan kepentingan peribadi.

al-Amanah, menjadikan sifat inklusif dalam menjaga kerahsiaan terhadap urusan-urusan sulit. Selepas berlakunya musyawaarah, maka etika kerahsiaan menjadi komponen penting dan utama bagi menggangkat demokrasi menurut perspektif Islam.

al-Masuliyyah, sikap kebertanggungjawaban dalam menjaga kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi. Amanah yang diberikan untuk mentadbir dan mengurus masyarakat dilaksanakan dengan telus, wibawa dan kredibiliti.

al-Hurriyyah, komponen terpenting yang menyebabakan penerimaan terbuka terhadap prinsip demokrasi Islam ini adalah kebebasan bersuara dan berpendapat. Hal ini selari dengan penjagaan hak asasi manusia yang diperjuangkan masyarakat dunia. Oleh itu, prinsip ini sering menjadi asas kepada gerakan-gerakan Islam bagi menjamin kelangsungan dan penerimaan kepada mereka.[5]